mutakhir

Calon SPM antara ditahan merusuh

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

POLIS menahan 23 lelaki termasuk seorang calon yang sedang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) susulan terbabit pergaduhan antara dua kumpulan di hadapan restoran di Persiaran Waterfront, di Sungai Siput, awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, kesemua suspek berusia antara 17 hingga 26 tahun itu ditahan di lokasi kejadian selepas polis menerima maklumat mengenai kejadian.

Menurutnya, dua daripada suspek adalah remaja berusia 17 tahun yang mana seorang sudah tidak bersekolah, namun seorang lagi sedang menduduki peperiksaan SPM.

“Hasil siasatan mendapati kejadian berpunca dari perselisihan faham antara dua kumpulan dan saringan awal air kencing mendapati tiga daripada mereka positif methamphetamine.

“Polis akan memohon reman hari ini di Mahkamah Majistret Sungai Siput bagi membolehkan kesemua yang ditahan membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis Kontinjen Perak di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput, Sungai Siput, hari ini.

Majlis disempurnakan Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain yang memakaikan pangkat kepada 43 pegawai kanan polis yang baru melepasi eksesais kenaikan pangkat dengan menyandang pangkat Asisten Superintendan (ASP).

Turut hadir Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Perak, Senior Asisten Komisioner G S Suresh Kumar.

Terdahulu, dalam sidang medianya Razarudin berkata, terdapat peningkatan kes jenayah membabitkan kanak-kanak di Perak pada tahun ini iaitu 302 kes berbanding pada 2015 iaitu sebanyak 115 kes.

Katanya, bagaimanapun kebanyakan kes yang dicatat membabitkan jenayah kecil khususnya ponteng sekolah dan buli selain kes berkaitan dadah yang disifatkan agak terpencil.

“Bagi mengekang masalah ini, kita maklumkan kepada Pegawai Perhubungan Sekolah iaitu dari kalangan pegawai polis supaya giat memantau selain mengadakan hubungan yang lebih rapat dengan pihak sekolah khususnya sekolah bermasalah untuk memperbanyakkan lagi program pencegahan seperti ceramah dan sebagainya,” katanya.

Disiarkan pada: November 12, 2019 @ 1:01pm
d