mutakhir

470 ditahan miliki MyKad palsu sejak 2017

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

SERAMAI 470 orang termasuk warga asing ditahan bagi tempoh 2017 hingga September tahun ini kerana didapati menggunakan kad pengenalan milik orang lain dan memiliki kad pengenalan palsu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman berkata, kesemua individu berkenaan dituduh di bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

“Berdasarkan pecahan tangkapan, seramai 323 tangkapan membabitkan warga Filipina; Indonesia (106 orang); Malaysia (15 orang); China (sembilan orang) dan Thailand (lima orang),” katanya pada sesi jawab lisan di sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Mohd Azis menjawab pertanyaan dikemukakan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) yang meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyatakan statistik penipuan membabitkan sindiket MyKad sejak 2013.

Dalam pada itu, Mohd Azis berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Penambahbaikan Sistem Penyampaian Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Alwi Ibrahim pada 18 September lalu memutuskan beberapa langkah penambahbaikan serta-merta dan strategi memperkemas sistem penyampaian JPN termasuk memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada JPN.

“Antaranya kelulusan permohonan pendaftaran lewat kelahiran hanya dibuat di Ibu Pejabat JPN Putrajaya bagi permohonan di bawah Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299). Manakala bagi permohonan di bawah Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1951 (Sarawak Cap. 10) dan Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (Sabah Cap. 123), kelulusan permohonan masing-masing dibuat di Ibu Pejabat JPN Negeri dengan kehadiran wakil daripada Ibu Pejabat JPN Putrajaya sebagai ahli panel.

“Selain itu, JPN turut meningkatkan kekerapan proses naziran secara mengejut di semua bahagian di JPN termasuk terhadap vendor yang terbabit bagi memastikan pematuhan semua tatacara yang telah ditetapkan.

“Jabatan juga menambah baik aras keselamatan berperingkat agar tidak lagi boleh diakses dengan mudah oleh semua pegawai, sebaliknya perlu melalui verifikasi daripada pegawai atasan;

“Dalam pada itu, JPN akan menukar penempatan pegawai JPN secara pusingan bagi mengelakkan satu-satu pegawai berada di posisi sama lebih daripada dua tahun, untuk meminimumkan salah guna kuasa selain menyemak dan mengemaskini data/rekod kelahiran, kematian dan kad pengenalan di pangkalan sistem JPN bagi mengelakkan penyalahgunaan atau penyelewengan; dan,” katanya.

Katanya, bagi tempoh jangka masa panjang, JPN meneliti cadangan agar diwujudkan Bank Data Deoxyribonucleic Acid (DNA) atau kaedah-kaedah biometrik lain untuk dimasukkan dalam Sijil Kelahiran supaya dapat mengekang penyalahgunaan dokumen berkenaan.

Disiarkan pada: November 12, 2019 @ 2:17pm
d