mutakhir

Cederakan anak saudara bising, lelaki dipenjara

Oleh Norizuan Shamsuddin

LELAKI dihukum penjara selama sebulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan anak saudaranya pada Oktober lalu.

Majistret Abdul Hayyi Salim membuat keputusan itu selepas tertuduh, S Ahmad Thani Junus @ Abdul Razak, 46, mengaku bersalah mencekik, menumbuk dan menyepak wanita terbabit.

Mengikut pertuduhan, lelaki berkenaan didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Azlina Wati Esa, 31, di sebuah rumah di Kampung Pujuk, Manir pada 7 malam, 20 Oktober lalu.

Tertuduh yang didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 326A akta sama berdepan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Mohina Din manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menjatuhkan hukuman dan menetapkannya bermula tarikh sabitan kes.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh bertindak memaki hamun anak saudaranya kerana membuat bising pada waktu Maghrib tanpa sebab.

Bagaimanapun, wanita terbabit meminta tertuduh supaya tidak mencampuri urusan peribadinya.

Susulan itu, tertuduh bertindak mencekik leher dan menolak anak saudaranya hingga terjatuh di lantai bilik air sebelum menumbuk serta menyepak mangsa.

Kejadian menyebabkan mangsa yang cedera mendapatkan rawatan di hospital selain turut mengalami trauma.

Disiarkan pada: November 12, 2019 @ 2:45pm
d