mutakhir

Sindiket 'teh' dadah kantoi

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

KEGIATAN sindiket pengedaran dadah menggunakan bungkusan serbuk teh tumpas susulan penahanan lelaki dalam serbuan di Alor Gajah Sabtu lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Mat Kasim Karim berkata, lelaki tempatan berusia 41 tahun itu ditahan sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Melaka dalam Perodua Alza di kawasan rumah kedai sekitar Taman Dimensi, Alor Gajah.

Menurutnya, ketika ditahan, suspek yang bekerja sebagai pemandu jentolak membawa bersama lapan paket bungkusan ‘teh’ yang di dalamnya mengandungi dadah dipercayai syabu 8.2 kilogram.

“Ketika ditahan, lelaki itu hanya mendiamkan diri dan dadah dijumpai dianggarkan bernilai RM400,000 yang boleh digunakan 10,000 penagih,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka hari ini.

Menurutnya, suspek juga bapa kepada lima anak direman tujuh hari sehingga 16 November ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

“Suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau disyaki terbabit dalam sindiket pengedaran dadah terancang berdasarkan bungkusan syabu menggunakan pek serbuk teh.

“Semua dadah ditemui dipercayai untuk pasaran tempatan,” katanya sambil menyatakan polis turut merampas kenderaan digunakan suspek bernilai RM40,000.

Disiarkan pada: November 12, 2019 @ 2:49pm
d