mutakhir

Tingkat kecekapan, inovasi pastikan harga kompetitif

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

SYARIKAT minyak di negara ini disaran meningkatkan kecekapan dan inovasi mengenai langkah terbaik dalam memastikan harga produk petroleum pada tahap kompetitif.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau mengesyorkan langkah itu kepada pihak yang berkenaan sebelum pertemuan bagi menerangkan saranan itu dibuat secara terperinci.

“Jika ia mendapat reaksi positif, kementerian ini akan memberi sokongan kepada usaha berkenaan.

“Jika ia mendapat penerimaan pasif, kita akan mulakan pertemuan untuk menerangkan secara lebih terperinci mengenai idea ini.

“Oleh kerana ini kali pertama saya kemukakan syor ini, saya belum tahu reaksi mereka. Melalui sokongan pihak media melaporkannya, saya berharap syarikat minyak akan memberi maklum balas secepat mungkin,” katanya ditemui pada Simposium Persaingan Setara Dan Kos Sara Hidup ‘Seiring Dan Sejalan’ di Putrajaya hari ini.

Perasmian penutup simposium berkenaan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata, jika enam syarikat minyak utama menyambut dan mengamalkan prinsip persaingan yang baik melalui inovasi dan meningkatkan kecekapan, sudah tentu ia membantu mengurangkan harga produk petroleum di negara ini.

Malah katanya, di sebalik kerajaan menggunakan kaedah Mekanisme Harga Automatik (APM) dan meletakkan harga RM2.08 seliter bagi RON95, kerajaan turut memainkan peranan untuk tidak membebankan pengguna dengan cara pemberian subsidi.

Mengulas lanjut beliau berkata, terdapat 3,500 stesen minyak di seluruh negara yang dipelopori bukan hanya satu syarikat tetapi enam syarikat minyak utama di negara ini.

“Perniagaan runcit minyak ialah perniagaan ‘volume’ (kuantiti) bukan margin.

“12 tahun dulu, mereka memohon kerajaan menaikkan margin dan kita sudah menaikkannya daripada 12 sen kepada 15 sen untuk pengusaha stesen minyak manakala diesel daripada tujuh sen kepada 10 sen,” katanya.

Disiarkan pada: November 12, 2019 @ 5:55pm
d