mutakhir

Ajal van terbabas, langgar pokok

Oleh Harun Yahya

PENUMPANG van maut manakala, pemandunya parah selepas kenderaan dinaiki terbabas dan melanggar pokok di Jalan Paradom, Sibu hari ini.

Pemangku Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Wan Kamarudin Wan Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada 2.51 petang.

Katanya, kemalangan membabitkan van Toyota Hiace yang hilang kawalan hingga terbabas menyebabkan mangsa terperangkap dalam kenderaan remuk.

“Lapan anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan kenderaan EMRS dikejarkan ke lokasi untuk membantu mengeluarkan mangsa.

“Mangsa meninggal dunia dikenali Kevin Wong Chuang Xiang berusia 20 tahun dan pemandu van, Kenny Wong Chung Kai parah dan dihantar ke Hospital Sibu oleh ahli keluarganya sendiri,” katanya dihubungi hari ini.

Beliau berkata, anggotanya menggunakan pemotong hidrolik khas bagi mengeluarkan kedua-dua mangsa dan operasi tamat pada 4.35 petang.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: November 12, 2019 @ 8:10pm
d