mutakhir

Tembok tahan ombak dibina

Oleh Hassan Omar

SERAMAI 30 individu membabitkan lima keluarga yang diancam hakisan pantai serius di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara di sini, sejak Julai lalu menarik nafas lega apabila kerja membina tembok penahan ombak dimulakan semalam.

Kerja membina tembok melalui kaedah batu lapis lindung itu mengubati keresahan mereka berikutan hakisan itu menyebabkan dapur dua daripada rumah rosak.

Penduduk, Azlan Idris, 58, berkata, dia bersyukur kerajaan negeri meluluskan peruntukan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membina tembok itu.

“Kami bimbang masalah hakisan yang semakin serius sejak Ogos lalu,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan lima kediaman diancam hakisan pantai serius apabila angin selatan bertiup kencang Julai lalu dan menyebabkan kerosakan struktur dapur rumah

Penduduk, Roslan Daud, 62, berkata, penghuni kelima-lima kediaman lega dengan peruntukan kerajaan negeri.

Menurutnya, ombak besar menyebabkan hakisan bertambah teruk hingga menyebabkan dinding dan lantai dapur kediaman adiknya, Abdul Rahman berlubang.

Sementara itu, Pengarah JPS Melaka, Abdul Hakim Hamzah berkata, projek itu dilaksanakan melalui sebut harga RM396,660 dengan tempoh menyiapkannya selama empat minggu.

“Panjang tembok itu adalah 115 meter dan tidak membabitkan kerja membina benteng pemecah ombak atau groyne yang menganjur dari pantai ke dalam laut,” katanya.

Disiarkan pada: November 13, 2019 @ 6:05am
d