mutakhir

Dua Ah Long dicekup

Oleh Hamzah Osman

DUA lelaki disyaki ahli sindiket ceti haram atau ‘Ah Long’ ditahan dalam operasi khas, Ops Vulture, di Langkawi, Isnin lalu.

Kedua-dua suspek berusia 40 dan 25 ditahan di Kampung Bukit Tangga, Mukim Ulu Melaka di sini, pada 3.30 petang.

Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kedua-dua suspek ditahan susulan laporan polis oleh seorang wanita berusia 23 tahun yang juga peniaga dalam talian.

“Pengadu membuat laporan polis selepas tidak berpuas hati apabila kedua-dua suspek masih meminta wang RM2,000 walaupun hutang pinjaman dibuatnya sudah pun diselesaikan.

“Pengadu pernah membuat pinjaman sebanyak RM800 daripada kedua-dua suspek sebelum ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, polis turut merampas poster pinjaman wang, kertas bergambar ugutan peminjam dan kertas setuju terima pinjaman wang daripada kedua-dua suspek.

“Kedua-dua suspek bersama semua barang rampasan ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.

“Polis memandang serius kegiatan `Ah Long’ dan menasihati orang ramai berhati-hati dengan muslihat sindiket terbabit supaya tidak terperangkap,” katanya.

Disiarkan pada: November 13, 2019 @ 9:54am
d