mutakhir

'Ketua hakim' pertandingan debat ditahan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

PENUNTUT universiti awam (UA) ditahan penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) berhubung isu tajuk debat Bahasa Inggeris Piala Tun Razak yang tular di media sosial, bulan lalu.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah berkata, lelaki berusia 25 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, kira-kira jam 11 pagi semalam.

“Berdasarkan siasatan awal, lelaki itu berperanan sebagai Ketua Hakim dalam pertandingan debat berkenaan.

“Kita menahannya bagi mendapatkan keterangan mengenai isu tajuk debat yang menyentuh sensitiviti Islam iaitu ‘Menulis Semula al-Quran’ dan ‘Amalan Homoseksual Bukan Dosa Dalam Islam’,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad Zaki berkata, lelaki itu bagaimanapun dibebaskan selepas enam jam memberi keterangan, kira-kira jam 5 petang.

“JHEAINS kini sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 50 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 kerana menghina agama Islam.

Harian Metro pada 15 Oktober lalu melaporkan, Pertandingan Debat Bahasa Inggeris Piala Tun Razak Kali Ke-8 yang diadakan di Sekolah Datuk Abdul Razak (SDAR), Seremban pada 11 dan 13 Oktober mendapat kecaman pelbagai pihak selepas tajuk debat cuba memesongkan akidah umat Islam.

Pertandingan itu meminta pelajar berhujah mengenai kecacatan dan kekurangan al-Quran serta memaksa mereka menulis semula al-Quran dengan membuang kandungan tertentu yang tidak liberal.

Selain itu, pendebat turut dipaksa berhujah bahawa homoseksual bukan satu dosa.

Berita berkaitan

Debat isu sensitif, UiTM ambil tindakan

Isu tajuk debat: KPM ambil tindakan

Disiarkan pada: November 13, 2019 @ 2:46pm
d