mutakhir

Banduan bogel lolos pusat tahanan

Oleh Kandau Sidi

BANDUAN warga Bangladesh meloloskan diri dalam keadaan bogel dari Pusat Tahanan Imigresen Bekenu dengan memanjat pagar hari ini.

Pendatang asing berusia 40-an itu melarikan diri tanpa memakai baju dan seluar selepas semua pakaiannya tersangkut pada dawai pagar pusat tahanan itu.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, kejadian itu dilaporkan pegawai Jabatan Imigresen kepada polis yang bertugas di pusat tahanan itu.

“Banduan itu dikenali sebagai Hossain nombor passport BC0878593, melarikan diri dari pusat tahanan pagi tadi.

“Polis berusaha mengesannya yang dipercayai masih menyembunyikan diri di sekitar hutan berhampiran,” katanya hari ini.

Beliau berkata, suspek ditahan di Pusat Tahanan Imigresen itu 6 September lalu kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1963 iaitu tinggal lebih masa di Malaysia.

“Suspek menunggu masa untuk diusir balik ke negara asal,” katanya.

Katanya, pihaknya dengan dibantu pegawai Jabatan Imigresen sedang melakukan operasi mengesan mangsa di kawasan belukar di Kampung Hangus, Kampung Jambu dan Kampung Bungai.

Disiarkan pada: November 13, 2019 @ 4:22pm
d