mutakhir

32 hektar hutan di Kedah diteroka

Oleh Mohd Rizal Abdullah

SELUAS 32 hektar kawasan Hutan Simpan Kekal di Kedah dikesan diteroka dan dijadikan kawasan kebun serta pembalakan tanpa kebenaran sejak dua tahun lalu.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK), Roslan Rani berkata, ia membabitkan kawasan pinggir hutan antaranya Hutan Simpan Pedu, Hutan Simpan Bukit Enggang, Hutan Simpan Bukit Perangin, Hutan Rimba Teloi dan Hutan Simpang Gunung Raya.

Menurutnya, kegiatan pencerobohan itu berjaya disekat menerusi Ops Rimba membabitkan 11 agensi penguat kuasa bermula 3 November lalu sehingga semalam.

“Seramai 29 individu membabitkan warga tempatan dan asing berusia dari 20 sehingga 60 tahun ditahan dalam operasi itu.

“Mereka dikesan menceroboh kawasan hutan berkenaan dengan menjadikan kawasan itu sebagai kebun dan pembalakan.

“Ada yang menanam durian, getah, dijadikan dusun buah-buahan malah bagi pembalak haram mereka turut memproses kayu balak di dalam hutan berkenaan,” katanya ketika sidang media sempena Majlis Penutup Operasi Bersepadu (Ops Rimba) di Bangunan Sultan Abdul Halim, Alor Setar hari ini.

Katanya, 11 motosikal, empat lori, dua kereta, sebuah jentera pengorek, satu traktor, sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD), satu gergaji besi dan tujuh parang dirampas.

“Sebanyak 155 kayu iaitu 151 jenis kayu Kelampaian, dua jenis kayu Kelat dan dua lagi jenis Hujan-hujan dirampas.

“44 notis turut dikeluarkan Jabatan Hutan Kedah dan 15 laporan polis dibuat berkaitan pencerobohan itu,” katanya.

Katanya, kawasan yang diceroboh itu akan dipulihara semula dengan penanaman semula pokok supaya dapat meneruskan fungsi hutan simpan kekal.

Disiarkan pada: November 13, 2019 @ 5:16pm
d