mutakhir

Salakan anjing selamatkan pasangan warga emas

Oleh Ahmad Ismail

SALAKAN anjing menyelamatkan pasangan suami isteri warga emas daripada rentung dalam kebakaran membabitkan empat kedai sederet di Jalan Pee Kang Hai, Kampung Abdullah, Segamat, malam tadi.

Pekerja bengkel, Low Chai Koon, 49, berkata ketika kejadian kira-kira jam 11 malam, dia tertidur di ruang tamu namun terjaga apabila terdengar salakan anjing peliharaannya.

“Pada mulanya, saya tidak menghiraukan salakan itu tetapi apabila berterusan, saya keluar untuk meninjau dan terkejut apabila melihat asap tebal keluar dari bahagian atas rumah kedai berhadapan rumah.

“Saya teringatkan pasangan suami isteri yang tinggal di tingkat dua bangunan rumah kedai dan terus menjerit kepada mereka supaya menyelamatkan diri.

“Saya cuba naik ke atas tetapi dihalang jeriji yang dikunci daripada dalam. Ketika itu, beberapa jiran turut membantu menjerit sekuat hati untuk memberi amaran kepada pasangan suami isteri sebelum mereka berjaya menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan,” katanya.

Menurutnya, pasangan itu bernasib baik apabila anjing dibela sejak tiga tahun lalu memberi amaran dengan menyalak sebelum api marak.

Sementara itu, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Riman Jusoh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.19 malam sebelum tiga jentera membabitkan 30 anggota Balai Bomba Penyelamat (BBP) Labis, BBP Bandar Putra dan BBP Segamat dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Api merebak dengan pantas kerana pelbagai barangan mudah terbakar antaranya plastik, peralatan keluli selain 30 peratus daripada struktur bangunan adalah kayu.

“Kami percaya api bermula dari tingkat atas dan berterima kasih kepada penduduk yang membantu menyelamatkan nyawa pasangan warga emas,” katanya.

Disiarkan pada: November 13, 2019 @ 7:12pm
d