mutakhir

Suami isteri maut pikap jatuh gaung

Oleh Mohd Roji Kawi

SUAMI isteri maut selepas pikap yang mereka naiki terbabas dan terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 60 meter di Kilometer 1, Jalam Jiwa Murni, Nanga Mujong, Kapit semalam.

Mangsa Guntur Dampa, 43, dan isteri Lucy Bekeh, 38, yang tercampak keluar dari kenderaan mereka disahkan maut di lokasi.

Dua anak lelaki pasangan itu yang berusia 8 dan 16 tahun ditemui selamat di dalam kenderaan itu, tanpa kecederaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan pada 4 petang.

Beliau berkata, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit bertindak menuruni gaung untuk mencari mangsa.

“Mangsa lelaki ditemui kira-kira 10 meter dari kenderaan manakala isterinya ditemui dalam jarak satu meter.

“Anggota kami kemudiannya membawa dua mangsa naik ke jalan raya menggunakan pengusung dengan kaedah sistem takal dan tali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh kakitangan Hospital Kapit yang turut berada di lokasi kejadian.

“Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: November 14, 2019 @ 10:36am
d