mutakhir

Rujuk mufti dan agamawan

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

KEMENTERIAN Kesihatan sentiasa merujuk dan mendapatkan pandangan daripada agamawan serta Majlis Mufti Kebangsaan dalam setiap tindakan berhubung isu rokok elektronik atau vape.

Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, beliau sentiasa merujuk isu vape dengan Majlis Mufti Kebangsaan kerana ia bersangkut dengan persoalan kemaslahatan dan penjagaan nyawa.

“Dalam apa-apa tindakan saya dalam isu ini, saya merujuk kepada mufti khususnya Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri bagi mendapatkan pandangan.

“Saya juga yakin akan terus mendapat sokongan dan dokongan semua pihak bagi menangani isu penggunaan vape berkenaan,” katanya pada sesi jawab lisan di sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan dikemukakan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian) mengenai apakah Kementerian Kesihatan tidak bercadang mendapatkan pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung penggunaan vape.

Menjawab soalan dikemukakan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) mengenai tindakan kerajaan bagi mengawal penjualan vape atau rokok elektronik, Dr Dzulkefly berkata, isu vape bukan saja berlaku di Malaysia sebaliknya satu epidemik global sehingga mengundang kebimbangan pelbagai pihak.

“Antara langkah yang dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia ialah aktiviti penguatkuasaan terhadap penjualan rokok elektronik yang mengandungi cecair nikotin dan penggunaan rokok elektronik dalam kalangan mereka yang berusia 18 tahun dan ke bawah.

“Di bawah peruntukan Akta Racun 1952, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM menjalankan tindakan penguatkuasaan di seluruh Malaysia pada 20 Ogos dan 31 Oktober 2019.

“Penguatkuasaan ini bertumpu di kedai penjualan rokok elektronik atau vape berhampiran sekolah serta yang menjadi akses kepada pelajar seperti di kedai runcit, kedai gajet dan kedai peralatan rokok elektronik ” katanya.

Katanya, rokok elektronik yang menggunakan cecair bernikotin adalah dikawal di bawah Akta Racun 1952 dan dilarang penjualannya kecuali oleh ahli farmasi berlesen serta pengamal perubatan berdaftar.

Dr Dzulkefly berkata, pengedaran dan pembekalan sebarang persediaan mengandungi nikotin memerlukan pendaftaran dan kelulusan sebagai ubat daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah di bawah peruntukan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, Akta Jualan Dadah 1952.

Disiarkan pada: November 14, 2019 @ 12:09pm
d