mutakhir

Limau, mangga, pisang 'ditahan'

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

JABATAN Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 117 kilogram (kg) buah dibawa masuk dari Myanmar melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) Sepang, semalam.

Pengarah MAQIS Selangor, Dr Tarmisal Alimin berkata, menerusi hasil pemeriksaan 3 petang semalam, buah yang dirampas membabitkan 40 kg limau, 47 kg mangga dan 30 kg pisang yang diletakkan dalam kotak berasingan tanpa dokumen sah seperti Permit Import.

“Justeru, ia ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3), akta sama.

“Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, penahanan buah-buahan ini bertujuan mengawal kemasukan perosak dan penyakit yang boleh merosakkan industri pertanian dalam negara jika ia tidak dikawal dengan sebaiknya.

“Hal ini boleh menyebabkan kerajaan menanggung kerugian tinggi jika penyakit ini tidak dikawal.

“MAQIS sentiasa mengambil langkah serius bagi memastikan kawalan penyakit tumbuhan, haiwan dan ikan serta jaminan keselamatan makanan terpelihara,” katanya.

Disiarkan pada: November 14, 2019 @ 12:30pm
d