mutakhir

Rampas 430,000 batang rokok putih [METROTV]

Oleh Muhamaad Razis Ismail

PASUKAN Polis Marin menggagalkan cubaan menyeludup 2,150 karton mengandungi 430,000 batang rokok putih bernilai RM287,208, di Kampung Chenerong, Kubu Cherang, Cabang Empat, Tumpat semalam.

Serbuan Ops Landai pada 2.45 pagi itu adalah hasil risikan pegawai dan anggota PPM.

Komander PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said berkata, terdahulu pihaknya menemui lori dalam keadaan mencurigakan sebelum mengekori kenderaan itu.

“Sebaik tiba di Kampung Chenerong, suspek mula menyedari kehadiran pihak berkuasa dan memecut laju sebelum memberhentikan kenderaan dan keluar melarikan diri.

“Hasil pemeriksaan terhadap lori itu menemui 43 kotak besar mengandungi 430,000 batang rokok putih dipercayai tanpa cukai import dengan kos keseluruhan termasuk lori RM307,240,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurutnya, siasatan mendapati, bekalan rokok putih terbabit diperoleh dari Thailand untuk pasaran tempatan di sekitar Pantai Timur.

“Kita percaya bekalan rokok tidak dibawa jauh berikutan sekatan jalan pihak berkuasa,” katanya.

Norzaid berkata, sindiket penyeludupan juga dipercayai mengambil peluang membawa masuk barang seludup dalam keadaan cuaca tidak menentu ketika musim tengkujuh.

“Kami sentiasa komited terhadap aktiviti penyeludupan di sempadan yang semakin meningkat berikutan permintaan tinggi sejak kebelakangan ini.

“Pada masa sama, kita meminta kerjasama orang ramai yang tinggal di pesisiran Sungai Golok dapat menyalurkan maklumat aktiviti menyalahi undang-undang,” katanya.

Disiarkan pada: November 14, 2019 @ 12:58pm
d