mutakhir

Ibu Adira disamun

Oleh Recqueal Raimi

IBU kepada penyanyi Adira Suhaimi mengalami kerugian kira-kira RM30,000 selepas disamun seorang lelaki yang memecah masuk rumahnya di Kampung Pinausuk di Ranau pagi semalam.

Dalam kejadian 5.30 pagi itu, Rujina Sarungin, 60, yang tinggal sendirian terkejut selepas menyedari seorang lelaki dengan memakai topeng muka berada di ruang tamu kediamannya.

Lelaki terbabit kemudiannya bertindak melarikan beg tangan mangsa yang mengandungi barangan kemas dan wang tunai.

Ketua Polis Daerah Ranau Deputi Superintendan Mohd Shahrul Abdul Wahab berkata, mangsa sedang berehat di ruang tamu selepas selesai membasuh pakaian sebelum kejadian itu.

Menurutnya, mangsa kemudiannya pergi ke dapur untuk memasak air dan terdengar bunyi pintu jeriji besi rumahnya dibuka.

“Sebaik keluar untuk melihat, mangsa terkejut selepas melihat suspek yang memakai jaket hitam mengambil beg tangannya di atas meja.

“Mangsa cuba merampas kembali beg tangannya itu tetapi tidak berjaya,” katanya dihubungi hari ini.

Menurutnya, suspek kemudiannya melarikan diri dengan menunggang motosikal.

“Dalam kejadian itu, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan tidak sempat melihat nombor pendaftaran serta jenis motosikal ditunggang suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan diminta segera menghubungi polis atau tampil ke balai berhampiran,” katanya.

Disiarkan pada: November 14, 2019 @ 7:17pm
d