mutakhir

Kasih sayang dua beradik

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

KASIH sayang dua beradik jelas terserlah apabila sanggup menjaga kakak mereka yang lumpuh susulan penyakit saraf dihidapinya sejak sekian lama di Kampung Teratai, Kamunting.

Siti Asiah Ramli, 56, bersama adiknya, Zainuddin, 45, menguruskan Siti Fatimah, 58, setiap hari sejak dua bulan lalu apabila kakak mereka lumpuh seluruh badan dan hanya terlantar.

Menurut Siti Asiah, kakaknya dilahirkan dalam keadaan urat saraf lemah hingga tidak mampu berdiri sempurna dan bergerak secara mengesot apabila memasuki usia 30 tahun, sehinggalah keadaannya bertambah parah sejak dua bulan lalu.

Kakaknya tidak mampu bercakap manakala kulit belakang badan mengalami luka besar yang hampir menampakkan tulang akibat melecet berikutan terbaring terlalu lama.

Ketika ini, dua beradik turut dibantu menantu Siti Asiah iaitu Siti Aishah Abd Kahar, 32, dan kakak ipar, Faizah Dahali, 60, menguruskan Siti Fatimah yang juga anak kedua daripada lima beradik itu.

“Memandangkan rumah kami berdekatan, kami berempat memikul tanggungjawab menguruskan keperluan kakak khususnya apabila Zainuddin yang masih bujang dan tinggal sebumbung dengan Siti Fatimah, keluar bekerja.

“Syukurlah menantu (Siti Aishah) rela menggalas tanggungjawab itu termasuk membantu membersihkan kakak dan menyalurkan susu khas menerusi hidung kerana dia tidak mampu makan atau minum melalui mulut.

“Seorang lagi adik saya yang juga tinggal berdekatan, hanya dapat meluangkan masa menjaga kakak pada hujung minggu memandangkan terikat dengan pekerjaannya,” katanya.

Siti Asiah berkata, rumah yang dihuni Siti Fatimah dan Zainuddin dibina oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) siap pada Oktober tahun lalu.

Ini selepas rumah pusaka yang terletak berdekatan, terlalu uzur dan hampir roboh.

Disiarkan pada: November 15, 2019 @ 6:15am
d