mutakhir

Ikan baung serah diri

SEGAMAT: Kedatangan musim tengkujuh membawa rezeki kepada nelayan darat susulan hasil tangkapan ikan baung yang meningkat dalam jumlah amat luar biasa.

Peraih ikan air tawar dan nelayan darat, Mohd Noor Abu Bakar, 55, berkata, jumlah tangkapan ikan baung oleh nelayan bertambah berkali ganda tanpa diketahui puncanya.

“Hujan lebat yang berterusan sejak beberapa hari lalu menyebabkan paras air sungai utama sekitar daerah ini meningkat, antaranya di Sungai Segamat, Sungai Chodan dan Sungai Muar di sini.

“Peningkatan paras air sungai dipercayai menyebabkan berlaku perpindahan spesies ikan air tawar termasuk ikan baung di sekitar sungai berkenaan,” katanya ketika ditemui di gerainya di Kampung Paya Pulai di sini.

Menurutnya, air sungai yang menjadi masam ketika musim tengkujuh turut menjadi faktor menyebabkan ikan baung muncul dan terperangkap dalam ‘ambai’ (jaring pukat) selain rawai yang dipasang nelayan darat.

“Selain itu, arus sungai yang deras turut menjadi faktor spesies ikan baung itu mudah ditolak memasuki perangkap ambai.

“Biasanya kelompok ikan baung ini akan mudik ke hilir sungai bagi mencari lokasi sesuai berikutan kandungan air lebih ‘neutral (seimbang),” katanya.

Mohd Noor berkata, hampir 100 kilogram pelbagai ukuran ikan baung berjaya ditangkap dan dihantar nelayan ke gerainya untuk dijual kepada pelanggan.

“Setiap pelanggan membeli sehingga empat kilogram untuk dibawa pulang.

“Gerai saya akan diserbu puluhan pelanggan antaranya dari Melaka, Negeri Sembilan dan Johor Bahru untuk membeli ikan baung dijual antara RM25 hingga RM37 berdasarkan gred,” katanya.

Katanya lagi, ikan baung Segamat amat digemari pelanggan kerana rasanya yang enak selain kandungan lemak yang kurang.

Disiarkan pada: November 15, 2019 @ 6:25am
d