mutakhir

R&R Tapah sah bebas Chikugunya

Oleh Mohd Hilmie Hussin

KAWASAN Rehat dan Rawat (R&R) Tapah di kedua-dua arah disahkan selamat untuk dikunjungi dan bebas wabak Chikugunya.

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dalam satu kenyataan yang dipapar di laman web mereka membuat pengesahan itu, sekali gus menyangkal dakwaan Kawasan R&R Tapah berisiko wabak Chikugunya, sebagaimana mesej yang tular menerusi WhatsApp.

“PLUS sentiasa memberi keutamaan terhadap aspek kesihatan dan keselamatan pengguna lebuh raya, selaras dengan matlamat utama kami iaitu menjaga pelanggan kami sepanjang perjalanan.

“Oleh itu, PLUS sentiasa berusaha memastikan persekitaran lebuh raya dan kemudahan yang disediakan selamat,” menurut kenyataan itu.

Turut dinyatakan dalam kenyataan terbabit, kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan menyeluruh secara berjadual dilaksanakan bagi memastikan R&R pada tahap terbaik untuk pelanggan lebuh raya.

PLUS melaporkan, kali terakhir kerja penyelenggaraan dilakukan di kawasan terbabit pada Rabu dan Khamis lalu (12 dan 13 November).

Menurut PLUS, kerja penyelenggaraan itu merangkumi kawalan serangga perosak, kerja pengasapan dan pembersihan bersepadu bersama pengusaha dan pengendali gerai makanan dan minuman.

“Orang ramai mengunjungi kawasan berhampiran dinasihatkan berhubung dengan Pejabat Kesihatan Daerah Batang Padang untuk mendapatkan maklumat rasmi mengenai pengisytiharan lokasi kes wabak Chikugunya terkini,” kata PLUS.

Disiarkan pada: November 15, 2019 @ 1:35pm
d