mutakhir

Berebut beli ikan sardin dalam tin

Oleh Hamzah Osman

LEBIH 500 pengunjung sanggup beratur panjang dan berebut untuk membeli produk ikan sardin dalam tin yang dijual RM2, berbanding harga pasaran RM6.50.

Minyak masak turut dijual 20 peratus lebih murah daripada pasaran pada Karnival Jualan Inisiatif Kedai Ekonomi Pengguna (i-KeeP) ‘Pulun Belanja’ di Dataran Sungai Kuah di Langkawi, hari ini.

Pengunjung, Suraya Mohd Muslim, 43, berkata, dia mengetahui program itu melalui laman sosial Facebook (FB) serta banting yang dipasang sekitar pekan Kuah.

“Sebelum ini, saya membeli sardin tin bersaiz sama pada harga RM6.50 di Pasar Awam Kuah, tetapi di karnival ini hanya dijual RM2.

“Selepas mengetahui program ini, saya tidak melepaskan peluang untuk datang dan membeli pelbagai barangan keperluan, termasuk minyak masak dan beras pada harga murah,” katanya yang menetap di Kampung Kuah.

Seorang lagi pengunjung, Siti Harah Noor Muhammad, 35, berkata, program itu terbukti dapat membantu penduduk berpendapatan rendah dan wajar dianjurkan lebih kerap.

“Saya akui, harga barang yang dijual pada karnival ini amat murah, berbanding harga pasaran di pasar raya,” katanya.

Karnival selama tiga hari berakhir esok dianjurkan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Perbadanan Nasional Bhd (PNS).

Majlis perasmian karnival itu disempurnakan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Hangat, Juhari Bulat.

Turut hadir adalah Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Muez Abd Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Dr Hezri Adnan.

Disiarkan pada: November 15, 2019 @ 6:11pm
d