mutakhir

Visa percuma lonjak industri pelancongan

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

CADANGAN pemberian visa percuma selama setahun kepada pelancong bermula tahun depan dilihat mampu melonjakkan industri pelancongan Malaysia.

Presiden Persatuan Pelancongan Malaysia (MATA), Datuk Mohd Khalid Harun berkata, cadangan itu boleh dipertimbangkan kerajaan khususnya sepanjang Tahun Melawat Malaysia 2020.

Menurutnya, cadangan itu mampu memberi pulangan lebih baik kepada ekonomi negara sepanjang tempoh kempen.

“Kementerian Pelancongan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) boleh pertimbangkan cadangan berkenaan hanya untuk tempoh berkenaan.

“Jika ia dapat direalisasikan, jumlah pelancong luar dapat digandakan seterusnya melonjakkan ekonomi negara seperti dilakukan negara tuan rumah kejohanan bola sepak dunia,” katanya selepas merasmikan MATA di Kuala Lumpur.

MATA adalah persatuan pelancongan terbaru yang menggabungkan pemain industri termasuk agensi pelancongan, ejen tiket, pengurup mata wang, rumah inap dan media massa.

Mohd Khalid berkata, pihaknya mensasarkan 5,000 ahli menjelang tahun depan menyertai persatuan itu.

“MATA berperanan memberikan ilmu dan peluang kepada pemain industri pelancongan untuk melonjakkan lagi sektor ini.

“Potensi begitu besar dapat dicapai menerusi industri ini sekiranya semua pihak terbabit disatukan dalam persatuan yang memiliki pakar dan pemain industri berpengalaman,” katanya.

Disiarkan pada: November 15, 2019 @ 6:18pm
d