mutakhir

Mayat lelaki dikerumuni biawak

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

“INGATKAN bangkai kerbau kerana saya lihat banyak biawak mengerumuninya, tidak sangka pula mayat manusia,” kata Chan Ah Chai, 67, yang menemui mayat lelaki di tapak bekas lombong bauksit di Jalan Kuantan-Kemaman di Kuantan, hari ini.

Ah Chai berkata, dia datang untuk melihat tanah miliknya seluas 1.6 hektar itu pada 2 petang selepas dua bulan tidak berbuat demikian.

Menurutnya, sebelum itu tanah itu disewakan kepada syarikat untuk melakukan kerja melombong bauksit, namun sudah dua tahun dibiarkan kosong.

“Ketika sampai di sini, saya melihat sekumpulan biawak mengerumuni sesuatu, sebaik menghampirinya saya terkejut apabila mendapati mayat seorang lelaki dalam keadaan terlentang.

“Saya melaporkan kejadian itu di Balai Polis Beserah,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Difahamkan mayat itu ditemui dalam keadaan tidak sempurna kerana tangan kanan serta pergelangan tangan kiri hilang dipercayai dimakan haiwan.

Sementara itu, peniaga makanan, Yusuf Mohd Yasin, 64, yang juga rakan Ah Chai berkata, dia sering mengunjungi kawasan itu untuk melihat tanamannya.

Katanya, dia sebelum ini membantu Ah Chai untuk menjaga tanah itu dan mengambil kesempatan menanam pokok cili serta pisang dan sekali-sekala datang untuk menyiram tanamannya.

“Saya perasan ada kereta Proton Wira berwarna putih diletakkan di kawasan bersebelahan tapak ini sejak beberapa hari lalu, namun menyangka ia adalah milik tuan tanah berkenaan.

“Apabila saya datang tadi barulah saya tahu ada mayat ditemui di sini...tiada pula bau busuk,” katanya yang menetap di Balok.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusuf Ali berkata, identiti mayat berkenaan disahkan sebagai Mohd Faez Mohd Jefri, 28, yang beralamat di Lorong Pandan Makmur 5.

Katanya, siasatan pihaknya mendapati mangsa mati disebabkan terkena renjatan elektrik ketika berada di tempat kejadian.

“Kami menemui kereta Proton Wira berhampiran tempat kejadian dan pemeriksaan di dalam kenderaan itu menemui beberapa kabel elektrik serta lesen memandu mangsa.

“Pakar Patologi dari Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) mengesahkan tiada unsur jenayah dan tidak menjumpai sebarang peralatan jenayah.

“Bagaimanapun, kami masih menyiasat tujuan mangsa berada di tempat kejadian,” katanya.

Mohamad Noor berkata, pihaknya meminta bantuan daripada Tenaga Nasional Berhad untuk mematikan arus elektrik di tempat kejadian.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke HTAA dan bedah siasat akan dilakukan pada Isnin ini.

Disiarkan pada: November 15, 2019 @ 10:01pm
d