mutakhir

Lapan rumah rosak dipukul ribut

Oleh Nor Farhani Che Ad

LAPAN rumah rosak dalam kejadian ribut di Kampung Jilid 3 dan Kampung Jilid 4, Merbok, Sungai Petani, hari ini.

Dalam kejadian 2.30 petang, dua rumah dihempap pokok manakala enam lagi rumah rosak apabila bahagian bumbung diterbangkan angin.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata, pihaknya dimaklumkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) berhubung kejadian pada 6 petang.

“Seramai enam anggota ditugaskan ke lokasi kejadian bagi memantau keadaan.

“Ketika anggota tiba, kami mendapati beberapa rumah rosak teruk akibat ribut yang melanda kawasan terbabit,” katanya.

Azahar berkata, kerja mengalihkan pokok yang tumbang dan membantu membersihkan rumah mangsa sedang dilakukan.

Beliau berkata, tiada pusat pemindahan dibuka setakat ini kerana semua rumah yang terjejas masih boleh didiami.

Katanya, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Disiarkan pada: November 15, 2019 @ 11:02pm
d