mutakhir

Tahan nelayan pukat di pesisir

Oleh Norasikin Daineh

TINDAKAN sekumpulan nelayan memukat ikan pada jarak kurang tiga batu nautika dari pesisir pantai, membawa padah apabila ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di perairan Tungku, Lahad Datu.

Mereka ditahan kira-kira 9.30 pagi semalam dan 1,100 kilogram ikan pelbagai jenis turut dirampas.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, tujuh nelayan itu menaiki kapal jenis pukat tunda ditahan ketika sepasukan anggotanya menjalankan Ops Gelora.

“Hasil pemeriksaan mendapati juragan bot sedang leka menangkap ikan pada jarak kurang tiga batu nautika dari persisiran pantai dan ia melanggar syarat lesen.

“Pemeriksaan lanjut turut menemui pelbagai jenis ikan yang dianggarkan bernilai RM5,500 dipercayai hasil daripada kegiatan memukat di kawasan itu,” katanya.

Mohamad Pajeri berkata, semua nelayan berusia antara 40 hingga 43 tahun bersama bot dan ikan dibawa ke pos Merabung untuk siasatan lanjut.

“Tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat-syarat lesen,” katanya.

Terdahulu, Mohamad Pajeri berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap kesalahan yang dilakukan oleh nelayan pukat tunda kerana aktiviti menangkap ikan bagi kapal jenis iu di pesisir pantai boleh membahayakan.

“Bukan saja beri kesan kepada nelayan kecil tetapi juga terhadap ekosistem ikan dan batu karang,” katanya.

Disiarkan pada: November 16, 2019 @ 9:34am
d