mutakhir

Kalau belum ajal...

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

SEBUAH motosikal berkuasa tinggi Yamaha MT-07 ‘putus’ dua, manakala sebuah kereta terbakar dalam kemalangan di Jalan Sungai Tua-Ulu Yam, dekat Hulu Selangor, hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Azman Ab Rahman berkata, kemalangan 9 pagi itu membabitkan tiga motosikal berkuasa tinggi dan sebuah Hyundai Atos.

Bagaimanapun, ia tidak membabitkan kematian dan tiga penunggang motosikal terbabit hanya cedera ringan.

Katanya, kemalangan apabila salah sebuah motosikal BMW GS ditunggang seorang lelaki berusia 48 tahun terbabas ketika melalui kawasan selekoh lalu melanggar kereta Hyundai Atos yang berada di laluan bertentangan.

“Ketika itu, tiga penunggang motosikal berkenaan sedang berkonvoi menuju Genting Highlands.

“Akibat pelanggaran itu, dua lagi penunggang yang menaiki motosikal, Yamaha MT-07 dan Ducati Hyperstrada tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal ditunggang rakan mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, motosikal Yamaha MT-07 berkenaan putus dua, manakala Hyundai Atos terbabit musnah terbakar.

Katanya, dua lagi motosikal pula hanya mengalami kerosakan pada bahagian sisi kanan.

“Kesemua penunggang motosikal cedera ringan di bahagian dada dan kaki dibawa ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan.

“Pemandu Hyundai Atos berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan sempat keluar sebelum kenderaan terbakar,” katanya.

Azman berkata, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: November 16, 2019 @ 1:19pm
d