mutakhir

Nasib baik sempat pujuk...

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

PUJUKAN bomba menyelamatkan seorang penuntut kolej yang mahu terjun bangunan di sebuah pangsapuri di Setapak, Kuala Lumpur, malam tadi.

Difahamkan, pada kejadian 10.30 malam itu, lelaki berusia 20 tahun terbabit cuba terjun dari tingkat 12 pangsapuri terbabit melalui koridor bilik tidurnya.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wangsa Maju, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Norman Marzuki berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan, 10.42 malam.

Menurutnya, susulan itu, dua jentera bersama 17 anggota termasuk dari BBP Setapak dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kami dapati lelaki itu bersama ibu dan abangnya berada di bilik tidur. Mereka sedang memujuk lelaki berkenaan.

“Sebelum itu, lelaki terbabit cuba untuk terjun melalui koridor bilik tidur itu tetapi dihalang abangnya.

“Bomba kemudian mengambil masa sejam untuk memujuk lelaki berkenaan. Selepas berjaya dipujuk, kami membawa lelaki itu ke bawah pangsapuri bagi mengelak dia mengulangi tindakan sama,” katanya.

Difahamkan, mangsa berasal dari Sabah mengalami kemurungan.

“Operasi kemudian ditamatkan tidak lama kemudian,” katanya.

Disiarkan pada: November 16, 2019 @ 1:51pm
d