mutakhir

Mayat terapung di Sungai Kelantan

Oleh Siti Rohana Idris

MAYAT lelaki ditemui terapung di Sungai Kelantan berhampiran Tambatan Diraja, di Kota Bharu, hari ini.

Mayat berkenaan ditemui orang awam pada 11.40 pagi tadi yang kebetulan sedang meronda dengan bot, sebelum memaklumkannya kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Anggota APM Kota Bharu, Abdullah Mat Zain berkata, ketika bertugas di pangkalan marin di tepi Sungai Kelantan, dia didatangi orang awam yang memaklumkan menemui mayat seorang lelaki.

“Saya bersama tiga anggota terus menaiki bot menuju ke lokasi penemuan iaitu di tengah sungai.

“Mayat ditemui lengkap berpakaian dan sudah agak kembung serta sedikit berbau,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Abdullah berkata, pihaknya segera mengangkat mayat itu sebelum memaklumkan kejadian itu kepada polis.

Katanya, mayat itu dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat.

Disiarkan pada: November 16, 2019 @ 2:15pm
d