mutakhir

Mayat juruteknologi makmal ditemui dalam kereta

Oleh Siraj Mohd Zaini

WANITA ditemui meninggal dunia di dalam sebuah kereta di kawasan parkir kereta awam di Pantai Morib, Kuala Langat, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 5.30 pagi itu, mangsa berusia 24 ditemui orang awam di dalam Hyundai Matrix di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Azizan Tukiman berkata, pemeriksaan polis mendapati mangsa terbaring di tempat duduk pemandu dalam keadaan enjin serta penghawa dingin kereta masih hidup.

Menurutnya, tiada unsur jenayah dikenal pasti kerana barang peribadi mangsa iaitu beg tangan serta telefon bimbit masih berada di dalam kenderaan itu.

“Mangsa bekerja sebagai juru teknologi makmal perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), masih bujang serta tinggal di Jalan Jering, Kampung Indah, Banting.

“Mangsa dibawa ke Hospital Banting untuk bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, hasil bedah siasat masih belum diketahui dan mayat diserahkan kepada ahli keluarga untuk dikebumikan.

“Mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Indah pada hari ini.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut kerana tiada unsur jenayah di badan mangsa serta lokasi kejadian,” katanya.

Disiarkan pada: November 16, 2019 @ 8:46pm
d