mutakhir

Mendaki sambil membersih

Oleh Badrul Kamal Zakaria

MEMENUHI minat mendaki sambil melakukan kerja amal membersihkan lokasi pendakian.

Itu yang dilakukan kumpulan pendaki dari Kelab Santai Hiking Muar apabila membersihkan bukit yang didaki terutama kawasan rekreasi Bukit Mor dekat sini.

Kelab berkenaan mengambil berat aspek kebersihan di bukit yang mempunyai pelbagai tarikan dan menjadi tumpuan penggemar aktiviti lasak.

Penasihat kelab, Ahmad Raof Kayat berkata, menyedari keperluan menjaga kelestarian alam sekitar pihaknya mengambil inisiatif membersih dan mengindahkan kawasan itu sejak 2015.

Katanya, kerja pembersihan dilakukan tanpa jadual secara sukarela oleh ahli kelab terutama ketika mendaki dan pada masa sama mengingatkan pendaki lain supaya menjaga kebersihan.

“Kita tidak mahu ada orang membuang sampah kerana tempat ini kawasan rekreasi dan milik kita bersama.

“Justeru, jika ada ahli kelab yang mendaki di kawasan ini, mereka akan kutip setiap sampah yang ditemui dan dibawa turun ke kaki bukit.

“Selain itu, kita harap menerusi usaha ini akan mendidik dan mendisiplinkan siapa saja yang mendaki bukit berketinggian 233 meter dari aras laut ini,” katanya.

Ahmad Raof berkata, selain menjaga kebersihan pihaknya melakukan kerja pengindahan di kawasan sekitar demi keselesaan pengunjung.

“Kita bersyukur kerana beberapa pihak sama ada syarikat, NGO (pertubuhan bukan kerajaan) atau individu turut bersama melakukan tugas ini,” katanya.

Menurutnya, kelab turut mengambil inisiatif mengibarkan Jalur Gemilang di beberapa kawasan tumpuan supaya semangat cintakan negara akan tersemat dalam hati sesiapa saja yang mendaki kawasan ini.

“Sekarang Bukit Mor sudah semakin popular jika dibandingkan 10 tahun lalu. Kini bukan sekadar orang tempatan malah pelancong dari Sweden, Filipina dan Singapura turut mengunjungi kawasan ini.

“Ia berikutan keunikan kawasan ini terutama tiga lokasi utama. Lokasi pertama jadi tumpuan bagi melihat matahari terbit, lokasi kedua menjanjikan panorama memukau Selat Melaka dan ketiga lokasi matahari terbenam,” katanya.

Disiarkan pada: November 17, 2019 @ 6:15am
d