mutakhir

Tragedi awal pagi

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

LELAKI maut selepas kereta dipandunya terbabas dan melanggar tiang lampu di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, hari ini.

Kejadian 3 pagi itu menyebabkan Pang Jian Fung, 24, meninggal dunia di lokasi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan menghala ke Jalan Tun Razak.

“Proton Persona dipandunya terbabas dan melanggar tiang lampu di kiri jalan. Mangsa cedera di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi.

“Pemeriksaan lanjut mendapati tiada bau alkohol pada badan mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zulkefly berkata, mayat dihantar ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 3.25 pagi dan sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul dikejarkan ke lokasi.

“Ketika tiba, didapati mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan usaha mengeluarkannya segera dilakukan.

“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: November 17, 2019 @ 8:40am
d