mutakhir

7 pelajar terbabit kes rogol boleh ambil SPM

Oleh BERNAMA

TUJUH pelajar lelaki yang ditahan reman bagi siasatan kes rogol akan dibebaskan esok dengan jaminan polis bagi membolehkan mereka mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, pihaknya telah menyelesaikan siasatan kes itu dan tidak berhasrat untuk melanjutkan tempoh tahanan reman tujuh pelajar berusia 17 tahun terbabit yang akan tamat esok.

“Polis juga mengambil kira kesemua mereka ini akan terbabit dengan peperiksaan SPM tahun ini, (jadi) kita akan bebaskan mereka dengan jamin polis dahulu.

“Mangsa juga sudah menjalani pemeriksaan di hospital,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Fun Ride dan Fun Run PDRM Tawau, hari ini.

Peter berkata, pihaknya akan menyiapkan kertas siasatan dan jika terdapat bukti kukuh, pertuduhan akan dilaksanakan serta suspek akan dituduh di mahkamah pada satu tarikh yang ditetapkan selepas peperiksaan SPM tamat.

Semalam media melaporkan tujuh pelajar lelaki berusia 17 tahun di sebuah sekolah di Tawau ditahan reman selama tiga hari, atas tuduhan merogol seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun dari sekolah yang sama.

Kejadian itu dipercayai berlaku di sebuah bilik di sekolah berkenaan.

Berkaitan program itu Peter berkata, ia adalah platform sesuai bagi mengeratkan hubungan antara polis dengan komuniti setempat dalam usaha mencegah jenayah.

Justeru katanya, masyarakat harus bertindak sebagai mata dan telinga polis dalam mencegah jenayah di kawasan penempatan masing-masing.

Selain menghubungi balai polis terdekat, orang awam juga boleh menggunakan aplikasi ‘Volunteer Smartphone Patrol’ (VSP) iaitu menyalurkan maklumat jenayah menerusi kaedah digital, katanya.

Seramai 600 peserta mengambil bahagian dalam program itu.

Berita berkaitan

7 pelajar ditahan terbabit kes rogol

Disiarkan pada: November 17, 2019 @ 10:37am
d