mutakhir

Syukur abang bomba ada, kalau tak...

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

TINDAKAN pantas bomba berjaya menyelamatkan tiga wanita dan seorang remaja lelaki orang kurang upaya (OKU) yang hampir lemas di Pantai Pasir Bogak di Pangkor hari ini.

Dalam kejadian 9.30 pagi itu, empat sekeluarga berkenaan termasuk ibu dan anak berusia antara 13 hingga 46 tahun itu diselamatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pulau Pangkor.

Difahamkan, kejadian berlaku apabila remaja lelaki OKU kategori masalah pembelajaran itu hampir lemas ketika mandi di tepi pantai itu selepas dipercayai ditarik arus ke kawasan dalam.

Tiga wanita termasuk ibunya yang menyedari kejadian itu kemudiannya cuba membantu sebelum mereka sendiri hampir lemas.

Ketua Operasi BBP Pulau Pangkor Ab Halim Hamed Hamzah berkata, kejadian itu disedari tujuh anggota bersama sebuah jentera yang sedang membuat ujian perjalanan bagi jadual tugas harian balai di sekitar kawasan terbabit.

Menurutnya, anggotanya ternampak empat mangsa berkenaan sedang terkapai-kapai di pantai dan terus bertindak untuk memberikan bantuan lanjut.

“Bomba yang menyedari kejadian itu terus bertindak untuk menyelamatkan mangsa dan membawa mereka ke tepi pantai.

“Semua mangsa selamat dan kemudian diserahkan kepada pihak perubatan untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, empat mangsa berkenaan dikatakan dari Sungai Buloh, Selangor dan mereka bersama ahli keluarga lain bercuti di pulau berkenaan.

Disiarkan pada: November 17, 2019 @ 12:56pm
d