mutakhir

Tiga tokan syabu dicekup [METROTV]

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

POLIS Kelantan menahan tiga lelaki dan merampas 1.7 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM75,000 dalam tiga serbuan berasingan di Rantau Panjang dan Pasir Mas pada Khamis serta Jumaat.

Serbuan dilakukan sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) dan tiga lelaki itu berusia antara 30 hingga 33 tahun.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, serbuan jam 5.40 petang Khamis lalu, polis membuat pemerhatian ke atas kereta Perodua Myvi yang diparkir di restoran di Jalan Rantau Panjang.

Beliau berkata, apabila polis mendekati kereta itu, pemandu berusia 33 tahun mengundurkan kereta untuk melarikan diri dan berlaku pergelutan sebelum berjaya ditahan.

“Pemeriksaan menemui satu bungkusan plastik warna hijau berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 1.018kg bernilai RM50,000 diletakkan dalam beg kertas di tempat penyangkut barang di bahagian penumpang hadapan.

“Serbuan kedua di rumah di Jalan Pasir Pekan, Pasir Mas pada 2.30 petang Jumaat, polis menahan lelaki berusia 30 tahun dan merampas dadah syabu seberat 53.2 gram (g) bernilai RM7,980.

“Dadah berkenaan diletakkan dalam kotak rokok di dalam poket seluar sebelah kanan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata, serbuan ketika pada 3.30 petang Jumaat membabitkan pemeriksaan terhadap kereta Proton Wira di tepi jalan simpang tiga Kampung Kias, Pasir Mas sebelum lelaki berusia 31 tahun ditahan dan polis merampas syabu seberat 108.1g bernilai RM16,215.

“Ketiga-tiga lelaki ini bergiat aktif sebagai pengedar sejak enam bulan lalu dan bekalan diperoleh dari negara jiran.

“Mereka direman selama tujuh hari bermula kelmarin sehingga Khamis depan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Disiarkan pada: November 17, 2019 @ 5:28pm
d