mutakhir

Jadikan keselamatan sebagai cara hidup

Oleh Mohamad Hussin

PENUBUHAN Ikatan Komuniti Selamat (IKATAN) dapat membantu merakyatkan komuniti melalui pewujudan komuniti mengamalkan budaya sihat dan selamat.

Pengerusi IKATAN, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, beliau yakin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu mampu menggembleng ahli pelbagai kepakaran dan profesional dalam satu wadah.

Beliau berkata, ia akan membantu masyarakat untuk lebih peka terhadap kepentingan keselamatan dan kesihatan dalam komuniti.

“Saya yakin ilmu dan pengalaman luas ahli IKATAN dapat dimanfaatkan serta mengatasi tahap kesedaran masyarakat yang masih pada tahap rendah.

“Ini kerana banyak kemalangan berlaku di jalan raya, tempat kerja, kawasan riadah dan perumahan.

“Komuniti dan orang ramai perlu mengambil langkah untuk mengubah sikap dan tidak hanya bergantung sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan komuniti mereka sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran IKATAN di Ampang, hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamarudin.

Lee berkata, IKATAN agak berbeza daripada NGO lain kerana skop operasi lebih meluas dan tidak tertumpu hanya kepada aspek pekerjaan saja, malah ia merangkumi sektor bukan pekerjaan.

“Penubuhan NGO ini dapat merapatkan jurang di antara masyarakat dan kalangan profesional.

“Misi kami adalah mempromosi dan merealisasikan keselamatan sebagai cara hidup serta melindungi daripada kehilangan nyawa dan harta benda.

“Ia membolehkan rakyat dan negara memperoleh manfaat daripada inisiatif pembasmian kehilangan dan penggemblengan sumber bagi memajukan komuniti serta negara,” katanya.

Beliau berkata, objektif penubuhan adalah menjadi pusat kecemerlangan bagi perkongsian ilmu, pengalaman dan kepakaran dalam kalangan kumpulan komited dan dedikasi.

Menurutnya, ia bagi membantu masyarakat menerap dan memajukan budaya selamat.

Katanya, kesedaran keselamatan perlu dipupuk agar transformasi komuniti akan berjaya melahirkan generasi baru mengutamakan keselamatan sebagai cara hidup di negara ini.

Disiarkan pada: November 17, 2019 @ 7:23pm
d