mutakhir

Penuntut maut jatuh tingkat empat

Oleh Muhammad Mustakim Ramli

PENUNTUT perubatan ditemui maut selepas terjatuh dari tingkat empat bangunan perpustakaan sebuah universiti swasta di Sungai Petani hari ini.

Lelaki berusia 19 tahun dari Pulau Pinang itu ditemui penuntut lain selepas terdengar bunyi sesuatu terjatuh dari bangunan itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, lelaki itu disahkan maut akibat parah pada bahagian kepala.

“Siasatan awal mendapati penuntut itu adalah penuntut cemerlang dan tiada masalah berkaitan yuran atau sebagainya,” katanya.

Adzli berkata, berdasarkan maklumat, bapa penuntut itu ada menghubungi anaknya 2.30 petang tadi.

“Keluarga sepatutnya bertemu dengan penuntut itu hari ini untuk menghantar baju serta rantai.

“Namun pada 3.30 petang keluarga menerima panggilan berhubung kejadian itu,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan sama ada penuntut itu mengalami tekanan ataupun sebaliknya kerana difahamkan dia akan menduduki peperiksaan esok.

“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya.

Disiarkan pada: November 17, 2019 @ 8:10pm
d