mutakhir

Tak ambil ijazah urus jenazah

Oleh Mohd Aizat Shamsuddin

IMPIAN seorang ibu untuk melihat anaknya menerima ijazah sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) semalam tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia kelmarin.

Malah, Muhammad Fahim Shamsuddin, 23, tidak naik pentas menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Teknologi Maritim) kerana perlu menguruskan jenazah ibunya, Rahayu Abu, 50, yang menghembuskan nafas terakhir jam 12.20 tengah malam di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat komplikasi darah tinggi dan kencing manis.

Menurut Muhammad Fahim, ibunya teruja ke majlis konvokesyen walaupun keadaan kesihatan tidak mengizinkan, malah dia yang paling awal bersiap bertolak ke Kuala Terengganu dari rumah di Bera, Pahang.

Katanya, pada awalnya dia merancang bertolak ke Kuala Terengganu Sabtu disebabkan baru tiba di kampung kerana bekerja di Kuala Lumpur sebagai pembantu operasi di sebuah syarikat perkapalan.

“Majlis konvokesyen Ahad namun ibu mahu bertolak Jumaat. Saya ikutkan saja permintaannya dan bercadang membawanya dan ayah (Shamsuddin Md Amin) ke tempat menarik di Kuala Terengganu.

“Namun ketika menginap di rumah bapa saudara di Kampung Tok Jembal, keadaan kesihatan ibu merosot apabila demam dan sesak nafas hingga dibawa ke hospital,” katanya.

Menurutnya, ketika dalam perjalanan ke HSNZ ibunya tidak sedarkan diri.

“Ketika dirawat, doktor menyatakan ibu mengalami bengkak di otak dan bergantung kepada mesin pernafasan. Dia bagaimanapun disahkan meninggal dunia jam 12.20 tengah malam,” katanya.

Muhammad Fahim berkata, walaupun tidak sempat naik ke pentas menerima ijazah, dia tidak ralat sebaliknya menguruskan jenazah ibunya lebih penting.

“Selepas pulang daripada mengambil jubah konvokesyen, saya sempat menyarungnya kepada ayah serta menunjukkannya kepada arwah ibu dan saya melihat wajahnya gembira walaupun dia dalam keadaan lemah,” kata anak kedua daripada tiga beradik itu.

Jenazah dibawa pulang ke kediaman mereka di Kampung Bohor Baru, Bera dan dikebumikan selepas solat Zuhur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bohor Baru.

Disiarkan pada: November 18, 2019 @ 5:15am
d