mutakhir

Bina kandang khas

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

BIMBANG mengalami kerugian teruk akibat banjir mendorong seorang penternak lembu di Kampung Bukit Jambu Merah, Durian Guling, membina kandang khas bagi menempatkan haiwan ternakannya sepanjang musim tengkujuh ini.

Ia bertujuan untuk menempatkan semua ternakan milik Hasmadi Embong, 32, apabila kawasan penternakan di ladang kelapa sawit yang terletak 30 meter dari kediamannya itu dinaiki air.

Hasmadi berkata, kandang khas terbabit dibina kerana dia tidak mahu tragedi sama berulang apabila lembu yang diternak hampir lemas dihanyutkan air deras empat tahun lalu.

“Saya sudah serik, oleh itu saya membuat persiapan lebih awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir besar.

“Walaupun ternakan saya tidak pernah mati lemas atau hilang kerana banjir, risiko ditimpa kejadian itu tinggi sekiranya saya tidak memindahkan semua ternakan.

“Pada hari biasa lembu itu hanya dibiarkan bebas di dalam ladang kelapa sawit, sekali gus kos makanan juga kecil kerana ternakan boleh mencari makanan sendiri, tetapi apabila hujan berterusan kawasan itu akan dinaiki air setinggi satu meter dan ternakan itu dimasukkan di dalam kandang dan diberikan rumput yang disimpan,” katanya.

Disiarkan pada: November 18, 2019 @ 6:00am
d