mutakhir

14 kaki judi, bookie ditahan

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

SEKUMPULAN kaki judi ditahan selepas dipercayai terbabit dalam pertaruhan tidak sah di sebuah premis di Jalan Kuchai Lama di Kuala Lumpur semalam.

Sindiket pertaruhan lumba kuda tidak sah itu berjaya ditumpaskan selepas diserbu sepasukan polis Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 4.45 petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, hasil serbuan polis itu berjaya menahan 14 lelaki tempatan termasuk tiga bookie.

“Individu berusia 47 hingga 73 tahun itu dipercayai terbabit dengan pertaruhan lumba kuda yang menjadikan kedai makan sebagai tempat operasi mereka.

“Polis turut merampas wang tunai bernilai RM6,490, tiga buku jadual perlumbaan kuda, sembilan kertas tercatit nombor kuda dan dua mesin pengira,” katanya.

Rusdi berkata, kesemua individu yang ditahan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields untuk siasatan lanjut dan proses dokumentasi.

“Semua mereka disiasat mengikut Seksyen 7 (2) Akta Pertaruhan 1953 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terbabit dengan kegiatan perjudian kerana tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil terhadap penganjur atau pemain,” katanya.

Disiarkan pada: November 18, 2019 @ 12:26pm
d