mutakhir

Jason Lo tidak mengaku ceroboh, ambil dadah

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

BEKAS ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat telekomunikasi yang juga penyanyi, Jason Lo dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini atas pertuduhan menceroboh sebuah rumah di Bangsar, Oktober lalu.

Jason atau nama sebenarnya Jason Jonathan Lo, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki sebuah kediaman di Lorong Maarof, Bangsar Park di Kuala Lumpur pada 10 malam, 30 Oktober lalu dan didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, Jason mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah jenis Methamphetamine ke dalam badan di tandas Pejabat Narkotik IPD Brickfields, pada jam 5.15 petang, 15 November lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun dan diwajibkan pengawasan bawah seliaan pegawai pemulihan tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Fatin Mohd Farid menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagaimanapun peguam Mardhiyah Siraj memohon mahkamah memberikan jaminan yang rendah atas alasan anak guamnya menanggung keluarga.

Majistret Tawfiq Affandy Chin kemudian membenarkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Difahamkan, Jason membayar jaminan bagi dua kes berkenaan.

Disiarkan pada: November 18, 2019 @ 3:57pm
d