mutakhir

Daging kerbau RM3.5 juta guna logo halal mengelirukan

Oleh Shamsul Munir Safini

JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang merampas 279,960 kilogram (kg) daging kerbau sejuk beku bernilai RM3.5 juta di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), baru-baru ini.

Rampasan dibuat selepas daging kerbau yang diimport dari India itu didapati tidak mematuhi syarat permit import ditetapkan.

Pengarah MAQIS Pulau Pinang Zarina Ramli berkata, kesemua produk itu dibawa masuk menerusi 10 kontena secara berasingan sejak 22 Oktober hingga 14 November lalu oleh syarikat sama.

“Pemeriksaan terhadap 13,991 kotak daging kerbau sejuk beku itu mendapati logo halal yang digunakan pada pembungkusan dalaman dan luaran produk daging adalah berbeza.

“Malah logo halal terbabit juga bukan daripada badan halal diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zarina berkata, susulan itu, pihaknya mengeluarkan kompaun sebanyak RM28,000 terhadap syarikat terbabit dan memberi amaran atas kesalahan mengimport tanpa mematuhi syarat import sah.

Beliau berkata, perbuatan mengimport daging kerbau tanpa mematuhi syarat seperti yang dinyatakan pada permit import MAQIS adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Zarina berkata, MAQIS sentiasa mengambil langkah serius bersama agensi penguatkuasaan di sempadan dalam isu membabitkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara.

Katanya, tindakan penguatkuasaan akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara.

Disiarkan pada: November 18, 2019 @ 5:00pm
d