mutakhir

Alahai, Ferrari kuningku...

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

LELAKI berdepan detik cemas apabila kereta Ferrari 458 dipandunya terbabas sebelum merempuh penghadang jalan dalam kejadian di Lebuhraya SPRINT berdekatan Plaza Tol Kerinchi di Kuala Lumpur semalam.

Dalam kejadian 12.30 tengah malam itu, mangsa berusia 66 tahun memandu dari arah Bangsar menghala ke Sungai Besi sebelum hilang kawalan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kejadian berkenaan menyebabkan kereta Ferrari terbabit remuk di bahagian depan.

“Namun mangsa bernasib baik apabila tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan di lokasi kemalangan mendapati lokasi kemalangan adalah di jalan lurus dan mempunyai tiga lorong,” katanya.

Bagaimanapun, Zulkifly berkata, kejadian terbabit berlaku pada waktu malam dan hujan lebat ketika itu.

“Siasatan juga mendapati permukaan jalan basah akibat hujan lebat ketika kejadian.

“Saman mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas, Akta Pengangkutan Jalan 166/59 dikeluarkan terhadap pemandu kenderaan berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: November 18, 2019 @ 5:31pm
d