mutakhir

Tumpu ekonomi digital

Oleh Mohamad Hussin

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menggesa semua agensi dan syarikat miliknya menjurus ke arah ekonomi digital dan ‘internet of things’ (IOT) sebagai pendekatan bagi memacu perkembangan perniagaan.

Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, ia merangkumi struktur organisasi, proses kerja dan pembangunan kapasiti modal insan.

Beliau berkata, jika perubahan itu tidak ditangani dengan sewajarnya akan menyebabkan daya saing serta tahan sesebuah syarikat akan terjejas.

“Dalam dunia perniagaan, aspek kompetensi modal insan tidak boleh di pandang mudah kerana sistem yang terbaik belum mampu memberikan hasil maksima jika modal insan sesebuah organisasi itu tidak memiliki ilmu pengetahuan dan kemahiran yang sepatutnya.

“Saya menyeru agensi atau syarikat induk perlu memberi keutamaan kepada latihan dan pembangunan kompetensi modal insan yang dimiliki agar bakat terbaik yang ada dapat digunakan sepenuhnya.

“Ini juga bentuk pelaburan oleh agensi dan syarikat untuk masa depan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Syarikat Terbaik KPLB 2018 di Kuala Lumpur hari ini.

Pada majlis itu, Kolej Poly-Tech MARA Sdn Bhd (KPTM) memenangi tempat pertama Anugerah Syarikat Terbaik KPLB 2018 diikuti Giatmara Sdn Bhd (tempat kedua) dan Ketengah Perwira Sdn Bhd (tempat ketiga).

Masing-masing menerima hadiah trofi dan sijil penghargaan.

Rina berkata, dengan memiliki modal insan yang berkemahiran tinggi akan membantu syarikat untuk melaksanakan strategi perniagaan dan pelan perubahan yang telah dirancang dengan lebih lancar dan berkesan.

“Penjimatan masa, guna tenaga dan bahan akan membantu syarikat untuk mengawal kos operasi sedia ada sekali gus meningkatkan pendapatan syarikat.

“Syarikat yang ditubuhkan agensi bagi tujuan melaksanakan beberapa peranan tertentu yang perlu dimainkan oleh agensi terhadap kumpulan sasar yang pelbagai.

“Dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) menyentuh berkenaan kerjasama awam dan swasta untuk pembangunan luar bandar,” katanya.

Disiarkan pada: November 18, 2019 @ 11:01pm
d