mutakhir

'Anugerah ini untuk Pahang'

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

RAJA Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mendedikasikan Anugerah Ikon Kraf 2019 yang diperoleh baginda daripada Majlis Kraf Dunia (WCC) untuk Pahang.

Titah baginda, pelbagai pihak selama ini mempercayai dan memberi galakan kepada baginda sepanjang baginda terbabit dalam industri kraf khususnya Tenun Pahang Diraja.

Baginda turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah kerana tanpa sokongan dan kepercayaan yang diberikan tidak mungkin baginda mendapat anugerah berkenaan. “Apabila ada mengucapkan tahniah saya katakan ia bukan untuk saya seorang tetapi untuk Pahang kerana saya mempunyai pasukan terbaik.

“Malah kerajaan negeri juga banyak membantu saya jika saya hendak buat acara...sentiasa mengalu-alukan saya,” titahnya.

Baginda bertitah demikian ketika mencemar duli merasmikan Pameran Warisan Pahang di Muzium Seni Pahang, Kuantan hari ini.

Pameran itu yang mengumpulkan 31 pelukis dan enam jurufoto kelahiran Pahang.

Tunku Azizah bertitah mahu juga industri tenun di Pahang mencuba pendekatan baharu seperti menghasilkan benang daripada daun nanas dan batang pisang serta sejenis tumbuhan dikenali sebagai reed yang banyak terdapat di Tasik Chini, Pekan.

“Tenun Pahang kena cuba menghasilkan benang yang lain kerana kita ada nanas di Rompin kerana daun nanas dieksport ke Filipina untuk membuat kain.

“Malah (daerah) Pekan mempunyai banyak pokok pisang jenis lemak manis, daripada batangnya dibuang begitu saja mungkin kita boleh jadikan benang,” titah baginda.

Baginda kemudiannya menzahirkan jemputan kepada semua rakyat Malaysia yang mencintai tekstil tradisional untuk menganggotai Kelab Pencinta Tekstil Tradisional (CITRA) yang ditubuhkan baginda, selain tekstil ia turut mengumpulkan kraf dan makanan tradisional.

Menurut baginda, usaha memulihara kraf adalah peranan semua supaya keindahan dan identiti yang tersemai menerusi kraf tidak lapuk dan dapat dinikmati generasi akan datang.

Disiarkan pada: November 18, 2019 @ 11:45pm
d