mutakhir

Rumah pusaka musnah terbakar

Oleh Shamsul Munir Safini

“KETIKA kejadian, ibu keluar mengajar agama manakala bapa ke kedai dan sebaik pulang kedua-duanya terkejut apabila mendapati rumah sudah terbakar,” kata Ramli Mahmud, 59.

Dalam kejadian 5.15 petang itu, rumah pusaka keluarga itu di Kampung Kepala Gajah, Simpang Ampat terbakar namun tiada kemalangan jiwa.

Ramli berkata, ibu tirinya Rokiah Ainol, 60, tinggal di situ bersama bapanya, Mahmud Othman, 82, serta dua lagi adiknya.

Katanya, ibunya itu guru agama dan mengajar di kelas agama yang dianjurkan di kawasan itu.

“Semua barang musnah dan kerugian dianggarkan RM100,000 termasuk barang berharga,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.28 petang dan sebaik tiba di lokasi bomba mendapati rumah itu sudah 90 peratus terbakar.

Katanya, kebakaran dapat dikawal daripada merebak pada 5.47 petang dan operasi tamat 7.13 malam.

Menurutnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan manakala kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Disiarkan pada: November 19, 2019 @ 12:24am
d