mutakhir

Serang waktu siang

Oleh Adnan Ibrahim

KEJADIAN gajah liar memusnahkan kebun dan ladang kelapa sawit tidak hanya berlaku pada waktu malam selepas mamalia besar itu turut memusnahkan 1.6 hektar ladang berhampiran Pekan Kahang di sini, pada waktu siang.

Orang Asli Kampung Sungai Peroh, Liong Marlina, 35, berkata, kejadian disedari ketika melalui kawasan ladang itu tiga hari berturut-turut.

Dia yang mulanya berhajat memburu ayam hutan terpaksa membatalkan niat berikutan bimbang keselamatan sebaik melihat lima gajah memusnahkan pokok sawit berusia tujuh hingga 10 tahun.

“Pada mulanya saya dan rakan menjangkakan serangan gajah liar itu hanya berlaku Jumaat lalu, namun ia berlarutan tiga hari.

“Ini menyebabkan kami terpaksa berpatah balik ke rumah bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku. Anehnya serangan gajah ini berlaku pada siang hari,” katanya.

Liong berkata, selain bimbang ke hutan, mereka risau kumpulan gajah itu mula menyerang kampung mereka berikutan jaraknya hanya lima kilometer.

“Lebih membimbangkan apabila ada ibu bapa yang menghantar anak ke Sekolah Kebangsaan Ladang Mutiara di kawasan berhampiran.

“Mereka keluar pada awal pagi dan berkemungkinan bertembung kumpulan gajah liar itu.

“Kami berharap pihak berkuasa tampil dan menyelesaikan masalah ini bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Salman Saaban ketika dihubungi berkata, anggota dan pegawainya akan dihantar ke lokasi untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan lanjut bagi mengelak kejadian sama berulang.

Katanya, baru-baru ini Perhilitan Johor mengadakan kawalan dan pemantauan di Kampung Sri Timur serta sekitar Ladang Sindora dan percaya kejadian yang dimaksudkan itu berlaku di Ladang Mutiara.

Disiarkan pada: November 19, 2019 @ 6:00am
d