mutakhir

Ditumbuk kekasih gay

Oleh Hadzlihady Hassan

CEMBURU kerana ‘kekasih’ keluar dengan orang lain, seorang lelaki gay menumbuk dan menampar pasangannya ketika berada dalam kereta di kawasan parkir di Jalan Tun Sardon, di Balik Pulau, Sabtu lalu.

Dalam kejadian 11.30 malam itu, dua lelaki terbabit yang berusia 29 tahun pada mulanya dipercayai pergi ke kawasan berkenaan konon untuk berbincang mengenai hubungan mereka.

Ia dipercayai selepas suspek mendapat tahu pasangannya keluar dengan lelaki lain, pada petang hari sama.

Bagaimanapun, perbincangan itu menimbulkan perselisihan faham hingga membuatkan suspek tidak dapat mengawal kemarahan sebelum menumbuk dan menampar muka pasangannya.

Berikutan itu, mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit keesokan harinya kerana bimbang keselamatan diri.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Jafri Md Zain berkata, siasatan mendapati kedua-dua lelaki terbabit adalah kakitangan kerajaan dan bekerja di bangunan sama, namun berlainan unit.

Menurutnya, mangsa bertugas sebagai seorang pegawai, manakala suspek pula kerani am dan mereka didapati menjalinkan hubungan sebagai pasangan kekasih sejak dua tahun lalu.

“Hasil siasatan lanjut, mangsa mendakwa dia selama ini memang kerap dipukul lebih-lebih lagi apabila gagal memberikan wang setiap kali diminta suspek.

“Mangsa juga memberitahu yang dia memang kerap memberikan wang dan sebagai balasan suspek akan membantunya dalam menguruskan kehidupan seharian seperti menyediakan rumah, bersiar-siar dan urusan peribadi lain,” katanya.

Jafri berkata, pihaknya mengambil keterangan daripada suspek serta mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: November 19, 2019 @ 9:55am
d