mutakhir

Tangguh dulu...

Oleh Muhammad Apendy Issahak

MAHKAMAH Tinggi Ipoh menetapkan 26 November ini bagi mendengar permohonan pemindahan kes rogol pembantu rumah warga Indonesia membabitkan EXCO kerajaan negeri, Paul Yong Choo Kiong ke mahkamah berkenaan.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Radzi Harun membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan memohon penangguhan prosiding itu yang sepatutnya didengar hari ini tetapi Paul Yong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh perlu menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berlangsung hingga Jumaat ini.

Timbalan Pendakwa Raya Ainul Wardah Shahidan berkata, pihak pembelaan memohon penangguhan prosiding hari ini dan mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan itu.

“Jadi, permohonan memindahkan kes ini ke Mahkamah Tinggi Ipoh ditetapkan pada 26 November ini.

“Dalam permohonan ini, mereka ada memfailkan afidavit sokongan dan kami pihak responden akan memfailkan afidavit jawapan ini esok,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah.

Sementara itu, peguam Farhan Sapian berkata, pada tarikh ditetapkan itu pihak pembelaan dan pendakwaan akan memberi hujahan mengenai permohonan pemindahan perbicaraan kes rogol berkenaan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Pada 13 November lalu, Mahkamah Sesyen Ipoh membenarkan permohonan pasukan pembelaan untuk menangguhkan perbicaraan kes rogol membabitkan Paul Yong.

Hakim Norashima Khalid membuat keputusan itu selepas pasukan pembelaan diketuai Datuk Rajpal Singh memohon penangguhan untuk membolehkan mereka memfailkan permohonan mengikut Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah.

Ia bagi memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi disebabkan banyak isu perundangan timbul terutamanya membabitkan Akta Perlindungan Saksi 2009.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Azhar Mokhtar membantah permohonan pembelaan itu kerana ia akan melewatkan lagi proses perbicaraan dan keputusan kes berkenaan.

Disiarkan pada: November 19, 2019 @ 11:15am
d