mutakhir

Mabuk sangat ni!

Oleh Shamsul Munir Safini

SEORANG lelaki mabuk yang memandu melawan arus di Lebuhraya Utara Selatan diberkas polis di Plaza Tol Sungai Dua, arah utara, dekat Kepala Batas, hari ini.

Dalam kejadian 6 pagi itu, suspek berusia 64 tahun dan bekerja sebagai jurutera itu memandu dari Relau, Bayan Lepas dan mahu pulang ke hotel penginapannya di Pulau Tikus.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dia kemudian dipercayai tersalah jalan dan masuk ke Lebuhraya Utara Selatan arah utara.

Beliau berkata, sebaik tiba di Tikam Batu, lelaki berkenaan tersedar dia tersilap jalan dan berpatah balik dengan memandu secara melawan arus di lebuh raya itu.

Katanya, dia kemudian memandu sehingga ke Plaza Tol Sungai Dua sebelum ditahan polis.

“Suspek yang berasal dari Negeri Sembilan itu dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) dan Seksyen 45 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: November 19, 2019 @ 12:21pm
d