mutakhir

Kereta terbang dipandu uji, Khamis ini

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

“SAYA tidak boleh dedahkan masa dan lokasi sesi uji pandu (kereta terbang) itu kerana bagi menghormati permintaan pemaju projek berkenaan,” kata Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

Beliau memaklumkan perkara itu ketika ditemui di lobi Parlimen, Kuala Lumpur, pagi ini.

Menurutnya, sesi pandu uji berkenaan adalah hasrat pemaju projek kereta terbang dan mereka enggan mendedahkannya kepada orang ramai sebaliknya kementerian hanya membantu mereka.

“Saya tidak boleh dedahkan perincian sesi pandu uji ini kerana menghormati permintaan mereka (pemaju), selain khuatir liputan yang akan dibuat sekiranya kereta berkenaan gagal terbang ketika sesi pandu uji,” katanya lagi.

Bagaimanapun, katanya, undangan untuk menyaksikan sesi pandu uji itu hanya diberi kepada wakil rakyat kerajaan dan ahli Parlimen pembangkang.

Dalam pada itu, Mohd Redzuan berkata, kerajaan belum memuktamadkan keputusan sama ada akan terus mengeluarkan kereta terbang nasional atau sebaliknya, jika keputusan pandu uji kenderaan itu menunjukkan perkembangan positif.

“Terdapat beberapa perkara perlu dibincangkan secara menyeluruh, khususnya perihal ruang udara sebelum keputusan mengenainya dimuktamadkan.

“Saya masih belum tahu perincian mengenainya (kereta terbang) lagi. Saya hanya mahu meneliti manfaat kereta terbang itu terlebih dahulu.

“Ketika ini kita masih mempunyai pertikaian mengenai ruang udara dengan perbincangan mengenainya sedang dijalankan di peringkat kerajaan, bagaimana ia boleh diselesaikan,” katanya.

Mohd Redzuan di sidang Dewan Rakyat semalam memaklumkan, beliau sendiri akan menyertai sesi uji pandu kereta terbang di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Khamis ini.

Beliau turut menjemput ahli Parlimen yang berkelapangan pada hari berkenaan untuk hadir menyaksikan sesi uji pandu kereta terbang itu.

Disiarkan pada: November 19, 2019 @ 2:16pm
d